suria

"Bapa pesan jangan sibuk nak jadi menteri" - Nurul Izzah

Nurul Izzah. -fotoTHESTAR

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan satu pesanan kepada anak sulungnya Nurul Izzah selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan apabila menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Perkara itu telah didedahkan Nurul Izzah sendiri, yang bertanding dan menang di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Antara perkara pertama yang beliau (Anwar) sebut, janganlah sibuk ramai-ramai semua nak jadi menteri," katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian di FB Live, Ahad.

Naib Presiden PKR itu berkata, bapanya yang sering mengingatkan dirinya bahawa kehidupan ini adalah satu perjuangan.

Justeru, Nurul Izzah berkata pesanan-pesanan seperti itu seperti sudah sebati dengan dirinya yang memulakan gerakan reformasi sejak 20 tahun dulu.

"Saya memang dah biasa, anak sulung Datuk Seri Anwar memang macam tu," jawabnya ketika ditanya adakah ia menjadi salah satu sebab namanya tidak disenaraikan dalam menteri Kabinet setakat ini.

Dalam pada itu Nurul Izzah turut menyatakan bagaimana bapanya sangat menghargai sokongan rakyat sehingga PH menang PRU 14 dan Yang di-Pertuan Agong berkenan memberi pengampunan serta merta kepada beliau dua hari selepas kemenangan bersejarah itu.

"Datuk Seri Anwar walaupun masa dia keluar penjara memanglah dia peluk cium kami sekeluarga tapi dia sebut dia kasihkan dan hargai sokongan rakyat, tanpa rakyat siapalah kami," katanya.

Nurul Izzah, menteri Kabinet

Artikel Sebelum

Artikel Lain