suria

“Biar mereka bayar hutang, lima tahun lagi kita ambil Malaysia” – Mohd Amar

Mohd Amar Nik Abdullah.

PETALING JAYA: PAS mendedahkan bahawa parti itu tidak kisah mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika negara menanggung sejumlah besar beban hutang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, parti itu mahu mengambil alih kerajaan Persekutan pada pilihan raya umum akan datang.

“Hutang banyak, nak bayar macam mana? Biarlah orang lain ambil dulu, selesaikan hutang Malaysia. Lima tahun lagi kita ambil Malaysia,” katanya dalam ucapan, di mana rakaman tersebut kini tular di media sosial.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut membangkitkan semula mengenai kekalahan PAS di negeri Serambi Mekah itu pada 1978.

Tambahnya, banyak pembangunan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) di Kelantan dalam tempoh kekalahan PAS sehingga kembali berkuasa pada 1990.

“Serupa kita (PAS) kalah pada 1978, memang kita sedih. Tapi Tuhan ni pandai, dalam tempoh 12 tahun... Dia bagi orang lain memerintah, orang lain buat pembangunan, pejabat... siap semuanya, bagi kita balik.

“Kita boleh pakai yang dah siap. Jadi, kita bagi mereka lima tahun untuk selesai masalah,” katanya.  

Laporan Kementerian Kewangan mendedahkan negara kini berdepan dengan bebanan hutang mencecah RM1 trilion.

Tambah Mohd Amar, hutang yang perlu diselesaikan itu termasuk isu yang membabitkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Selesaikan masalah Malaysia, hutang semua... 1MDB, selesai sehingga habis... kita pula kat sana (Putrajaya),” katanya.

Pakatan Harapan menang pada PRU14 yang diadakan pada 9 Mei lalu, mengakhiri kerajaan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun, sekali gus mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.

Mohd Amar Nik Abdullah, 1MDB, PAS

Artikel Sebelum

Ku Li calon Presiden Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain