suria

Batal projek HSR elak rakyat tanggung beban hutang

MELAKA: Keputusan kerajaan pusat membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura memberi kesan positif untuk tempoh masa panjang antaranya mengelak beban hutang yang perlu ditanggung rakyat.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata mungkin dalam jangka  masa pendek ia dilihat agak merugikan tetapi negara dilihat memperoleh keuntungan untuk jangka masa panjang kerana dapat mengelak daripada  terbeban dengan lebih banyak hutang.

Adly.

Katanya pertimbangan berkenaan dilakukan setelah mendapat khidmat nasihat daripada ramai pakar selain mengambil kira kedudukan hutang negara yang agak tinggi dan perlu diurus dengan sebaik mungkin.

"Kalau kita lihat projek itu sekitar RM50 bilion tetapi kalau ia dibatalkan kita perlu membayar pampasan RM500 juta...maknanya kita hanya perlu tanggung 10 peratus beban hutang berbanding 100 peratus beban hutang pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Ihya Ramadan peringkat negeri Melaka di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan muktamad untuk membatalkan projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura yang diumumkan pada Isnin.

Adly berkata tempoh perjalanan yang terlalu singkat Singapura dan Kuala Lumpur menerusi pelaksanaan projek HSR itu juga boleh memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan Melaka antaranya lebih ramai  warga Kota Singa itu memilih untuk terus ke Kuala Lumpur tanpa singgah di Melaka.

"Terdapat banyak kebaikan dan keburukan jika pelaksanaan projek HSR itu dilaksanakan tetapi pada masa sekarang kita perlu lebih rasional dan berfikir panjang agar kesan jangka masa panjang itu tidak membebankan rakyat atau negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata kerajaan negeri telah bersetuju menyambung tempoh semua perjawatan di peringkat masjid dan surau yang sepatutnya berakhir pada 30 Mei depan kepada 31 Dis depan.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga Majlis Agama Islam akan menilai semula proses pelantikan ahli jawatankuasa masjid atau surau di negeri itu agar ia dilakukan mengikut saluran yang betul dan mendapat persetujuan kariah masing-masing.

"Kaedah ini bertujuan memastikan struktur jawatankuasa berkenaan dapat diperkemas dan pemilihan adalah adil dalam usaha memastikan program atau aktiviti mengimarahkan masjid dan surau dapat dilaksanakan dengan seperti yang dirancang, lancar dan berkesan," katanya. - Bernama

HSR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain