KUALA LUMPUR: Polis telah merekodkan keterangan anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa, susulan laporan yang dibuatnya berhubung rampasan barangan peribadinya di kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, di sini. Sumber polis berkata, laporan itu dibuatnya pada Isnin 28 Mei kerana tidak berpuas hati dengan pasukan polis yang didakwa merampas pelbagai barangan termasuk hadiah perkahwinan. "Ibu pejabat polis daerah Sentul telah menerima laporan itu. Bagaimanapun, polis dari ibu pejabat polis daerah Dang Wangi telah merekod kenyataannya di kediamannya yang terletak di kawasan itu," katanya. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah telah mengesahkan perkara itu. Sementara itu, Bernama melaporkan sebuah kereta Proton Preve yang membawa empat pegawai polis memasuki kediaman Najib di Jalan Langgak Duta pada pukul 11 pagi Selasa. Pada 18 Mei lalu, polis merampas 72 beg berisi barang kemas, mata wang pelbagai negara dan barangan berharga di kondominium di Jalan Raja Chulan itu, yang dipercayai ada kaitan dengan 1MDB melibatkan bekas perdana menteri. Selain itu, 284 kotak berisi beg tangan mewah turut dirampas dari tiga unit kondominium di bangunan sama.