suria

Harga RON97 ikut harga pasaran mulai 7 Jun

PETALING JAYA: Harga petron RON97 kekal RM2.47 seliter sehingga 6 Jun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata harga bahan api itu bagaimanapun akan ditetapkan mengikut harga pasaran bermula 7 Jun ini.

"Mulai 7 Jun ini, RON97 akan diapungkan mengikut harga pasaran dan semakan harga baharu bagi bahan api itu akan dibuat setiap Khamis," katanya pada sidang media di Putrajaya, Khamis.

Bagaimanapun Guan Eng berkata kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel mengikut harga semasa.

"Harga petrol RON95 kekal pada RM2.20 seliter manakala diesel pada RM2.18 seliter," katanya.

Penstabilan harga runcit petrol itu adalah antara pelaksanaan yang dipersetujui kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Harga petrol dan diesel tidak berganjak sejak 22 Mac lalu, di sebalik turun naik harga minyak dunia.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini memperkenalkan mekanisme pengumuman harga minyak secara mingguan berkuat kuasa pada 29 Mac tahun lalu.

Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.

harga bahan api, RON97

Artikel Lain