suria

Pemilik jangan lupa, kucing pun nak pakai baju raya!

Salah seorang staf sedang menjahit baju bagi koleksi Purrfect Raya.

DALAM kerancakan mencari persalinan untuk digayakan pada lebaran nanti, jangan lupa si bulus anda juga tidak mahu ketinggalan.

Jangan terkejut apabila koleksi baju raya kucing yang diperkenalkan oleh Geli Geli Kucing habis terjual dalam tempoh dua hari sahaja setelah ia diperkenalkan pada 29 Mei lalu.

Pemiliknya, Faizulniza Puzi, 35, berkata, dia terkejut dan gembira dengan penerimaan luar biasa orang ramai terhadap koleksi khas Purrfect Raya itu.

Faizulniza Puzi

"Kami sebenarnya menyasarkan pelanggan setia sahaja, tapi tak sangka ramai yang berminat. Malah kami turut menerima tempahan dari Brunei dan Singapura.

"Setakat ini, sudah 500 pasang baju dari koleksi raya kami sudah terjual. Kami sedang mengusahakan untuk buka tempahan bagi batch kedua pula," katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Koleksi berkenaan menawarkan baju Melayu, baju kurung serta kurta yang dijual pada harga serendah RM42 hingga RM45 sahaja.

Salah satu koleksi baju Melayu kucing.

Menurut wanita yang mesra disapa Niza itu, ilham untuk memperkenalkan koleksi ini sejajar dengan tagline mereka yang mahu mengangkat kucing sebagai sebahagian daripada ahli keluarga pemiliknya.

"Kita mahu bukan sahaja pemilik tapi kucing juga sama-sama bergaya di hari Raya.

"Ia bertepatan dengan tagline kami iaitu 'where cats are family' sebab kucing ni dah jadi sebahagian daripada kehidupan pembelanya," ujar Niza yang turut memelihara lebih 30 ekor kucing.

Geli Geli Kucing beroperasi di dua cawangan iaitu di Taiping dan Ipoh, Perak.

Selain atas talian, koleksi baju ini turut dijual di dua outlet.

Menurut Niza, tahun ini merupakan kali pertama mereka memperkenalkan koleksi pakaian untuk kucing.

Selain baju, ia turut menawarkan perkhidmatan hotel, dandanan, produk dan aksesori untuk haiwan comel itu.

Sementara itu, posting mengenai koleksi baju raya kucing yang dimuat naik ke laman Facebook pada 29 Mei lalu menerima lebih 5,000 tanda suka dan dikongsi lebih 20,000 kali.

Netizen dilihat tidak dapat membendung perasaan 'geram' setelah melihat model-model kucing bergaya dalam busana hari raya lantas terus membuat tempahan di Facebook berkenaan.

"Tanggungjawab pada anak-anak kucing jangan lupa. Kita tak beraya pun tak apa," tulis Firdaus Ahmad.

"Jangan lupa beli baju untuk kucing agar kelihatan sopan di pagi raya," tulis Nama Ahmad pula.

"Jangan main-main. Tahun 2018 ni 'nothing impossible' kucing pun dah ada baju raya cik oii. Harga dah macam baju manusia," tulis seorang lagi pengguna Facebook.

Menurut Niza, dia juga berhasrat untuk mempelbagaikan lagi koleksi baju kucing pada masa akan datang bagi memenuhi permintaan para pemilik haiwan comel itu.

baju kucing, baju raya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain