suria

Malaysia teruskan perjuangan Tun Abdul Razak

SINGAPURA: Malaysia menyokong penuh usaha ke arah “denuclearisation” dan berharap usaha sebegitu tidak hanya bertumpu kepada negara tertentu seperti Korea Utara dan Iran sahaja, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Ia harus merangkumi semua negara yang memiliki senjata nuklear,” katanya selepas Dialog Shangri-La (SLD) edisi ke-17 di sini, Sabtu.

Mohamad berkata, Malaysia menyambut baik rundingan menangani krisis nuklear yang dijangka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun ini.

“Ia satu usaha yang baik. Kita tidak mahu ia berulang di rantau Asia ini.. kita ada experience.. mengenai pengeboman ke atas Hiroshima dan Nagasaki.

“Itu adalah teknologi 70 atau 60 tahun dahulu. Kita tidak tahu teknologi nuklear sekarang. Ia amat berbahaya kepada umat manusia. Sebarang usaha ke arah “denuclearisation”… kita akan menyokong sepenuhnya,” kata beliau.

Mohamad juga berkata, dengan adanya pertemuan antara Trump dan Kim “itu sudah mula satu usaha yang baik.”

Ketika diminta mengulas ucapan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis di SLD yang dilihat agak ‘keras’ terhadap China di Laut China Selatan, Mohamad menjawab: “Kita sentiasa mengekalkan dasar berkecuali. Itulah yang kita memperjuangkan sejak kepimpinan Tun Abdul Razak.”

“Kita tidak mahu sebarang pertembungan berlaku di Laut China Selatan. Kita amat bimbang mengenai apa yang berlaku di sana,”katanya.

Sementara itu, kehadiran Mohamad ke SLD sebagai Menteri Pertahanan yang baharu dianggap sebagai peluang baik untuk berkenalan dengan rakan sejawatannya di Asia dan juga Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Perancis dan Britain.

“Ia membolehkan saya membina hubungan dengan cepat,” katanay.Semalam, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.Mohamad dijangka bertemu dengan Mattis pada Ahad. - Bernama

Mohamad Sabu, Tun Razak

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan