SUNGAI BESAR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang gagal dikesan sejak menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, sembilan hari lalu dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang. Selain jawatan peringkat sayap itu, Jamal turut menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno bagi merebut jawatan terbabit. Jamal berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan dan sokongan serta nasihat rakan-rakan seperjuangan. “Saya Jamal Md Yunos menawarkan diri bertanding sebagai calon untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2018-2021,” katanya. Kenyataan Jamal itu dikongsi seorang rakan beliau yang memuat naik status kenyataan Jamal itu di Facebook. Jamal dalam status itu turut mengulas, tujuan beliau menawarkan diri untuk bina kembali semangat perjuangan kepada semua ahli Umno di seluruh negara. “Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya. Jamal sebelum ini dilaporkan menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, 25 Mei lalu. Beliau didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital terbabit pada jam 10.45 pagi. Difahamkan kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang. Selain Jamal, dua lagi nama mengumumkan bertanding bagi jawatan ketua pemuda Umno ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dan Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.-SinarHarian