suria

Bekas sukarelawan MyCARE mati ditembak askar Israel

Razan al-Najar.

PETALING JAYA: Seorang sukarelawan warga Palestin yang pernah berkhidmat bersama bantuan kemanusiaan MyCARE ditembak mati askar rejim Isral ketika protes di sempadan Gaza pada Jumaat lalu, lapor Reuters.

Menurut saksi, Razan al-Najar ditembak mati askar Israel ketika dia meluru ke pagar sempadan di bandar selatan Gaza untuk memberi bantuan kepada mangsa yang cedera.

Askar Israel dalam satu kenyataan mendakwa 'militan' Palestin telah menyerang anggotanya di sepanjang kawasan sempadan dengan melepaskan tembakan dan bom tangan.

Menurut kenyataan itu, kematian Razan akan disiasat.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Aqsa Syarif, mendakwa Razan yang memakai baju berwarna putih ditembak di dada oleh penembak tepat Israel ketika sedang memberi bantuan perubatan.

"Bajunya sentiasa dipenuhi darah warga Palestin yang diselamatkannya. Namun malam semalam, bajunya dipenuhi darahnya sendiri.

"Ketika dia sibuk menyelamatkan orang lain, nyawanya sendiri telah diragut," kata NGO itu dalam satu posting di Facebook pada Sabtu.

Menurut Aqsa Syarif, Razan menyertai sukarelawan MyCARE sejak Ramadan tahun lalu.

Razan pernah berkata, "Saya boleh bekerja di hospital. Tetapi saya memilih untuk berada di barisan hadapan bersama-sama dengan rakan-rakan saya di lapangan."

Kematian Razan menjadikan jumlah kematian warga Palestin yang maut dalam protes yang diadakan di Tebing Gaza itu sejak 30 Mac lalu kepada 119 orang.

MyCARE, Razan al-Najar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain