DALAM temu bual selama sejam, Tun Daim Zainuddin berkongsi pandangan beliau mengenai politik selain memberi wawasan mengenai hubungannya dengan beberapa pemimpin di negara ini. Petikan wawancara: The Star: Apa cabaran terbesar untuk Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)? Adakah anda yakin Malaysia boleh menangani cabaran itu, terutamanya rasuah? Daim: Malaysia tiada pilihan. Rasuah telah meresap di semua peringkat dalam kerajaan. Kami kini berada di persimpangan. Satu-satunya cara adalah membersihkan sistem dan menghapuskan penyakit yang membelenggu negara ini. Untuk melakukannya, tentangan politik akan menjadi kriteria utama untuk berjaya. Dan saya yakin kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai gagasan untuk melakukannya. Orang sedang melihat. Cabaran terbesar bagi CEP adalah tempoh masa. Kami sedang berusaha keras untuk membangunkan cadangan terbaik untuk dikuatkuasakan kerajaan berdasarkan janji 100 hari yang dinyatakan dalam manifesto PH semasa kempen pilihan raya mereka. Bolehkah kita mengatasi cabaran utama? Kita telah berdepan dua krisis ekonomi utama sebelum ini (pada 1987 dan 1998) dan kami berjaya mengatasinya. The Star: Bolehkah Malaysia dapat kembali wang yang dirompak dan dana dikaitkan dengan 1MDB tidak lama lag? Daim: Kami tahu bahawa ada wang dibekukan di beberapa lokasi di seluruh dunia. Kami bercakap dari segi bilion. Sebagai permulaan, Singapura bersetuju untuk memulangkan apa sahaja jumlah yang dibekukan di sana. Saya percaya usaha sedang dilakukan pihak berkuasa untuk mendapatkan semua wang kita, yang telah dirompak. The Star: Adakah anda fikir Dr Mahathir akan kekal lebih dua tahun? Daim: Dalam temu bualnya bersama Financial Times Isnin lalu, beliau menegaskan sukar untuk kekal sebagai perdana menteri melebihi usia 95 tahun. Tetapi pada masa ini, saya fikir semua orang tahu bahawa beliau komited untuk memenuhi janji dalam manifesto Pakatan. Lagipun beliau pengerusi Pakatan. Paling penting, pencapaian terbaiknya adalah rakyat meletakkan kepercayaan terhadap beliau dan menyokongnya untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib dan kerajaan kleptokrasinya. The Star: Mengapa anda rapat dengan Perdana Menteri? Daim: Beliau 12 tahun lebih tua daripada saya. Kami pergi ke sekolah yang sama di kampung yang sama di Kedah. Keluarga kami mengenali antara satu sama lain. Saya sentiasa suka bergurau: dari Kedah kami ada Yang di-Pertuan Agong yang ditabal dua kali, perdana menteri angkat sumpah dua kali, menteri kewangan juga dua kali. The Star: Mengapa kerajaan tidak melakukan pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak? Daim: Saya enggan mendedahkan semua perkara ini. Kami akan menyelesaikan siasatan tidak lama lagi. Apabila siasatan belum selesai, anda tidak boleh mendakwa seseorang. Harapan orang terhadap kami terlalu tinggi tetapi tidak dapat didedahkan. Biarlah pihak berkuasa lengkapkan siasatan.