BERITA mengenai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan keputusan beliau untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia pada pemilihan parti itu 23 Jun ini bukanlah sesuatu yang menggemparkan. Yang sepatutnya menggemparkan ialah jika Majlis Tertinggi atau Jawatankuasa Disiplin parti membatalkan pencalonannya. Itulah yang sepatutnya berlaku - menghalang beliau daripada meneruskan hajatnya daripada bertanding. Macamana seorang yang sedang bersembunyi daripada undang-undang dan menjadi 'pelarian' hendak memimpin sayap sebuah organisasi yang besar seperti Umno. Ini sangat-sangat memalukan. Bukan sahaja diri sendiri malah parti. Melainkan Umno merasakan yang ia sudah menjadi kerdil dan tidak kisah lagi dengan reputasi dan jati diri. Jamal membuat pengumuman itu menerusi laman Facebooknya. Beliau mempamerkan gambar borang pencalonan jawatan yang ingin ditandinginya itu pada petang Selasa, 5 Jun. Ironinya, beliau boleh melakukan ini semua tetapi pada masa yang sama enggan menyelesaikan isu dirinya dengan pihak berkuasa. Jamal berkata isunya dengan undang-undang hanyalah perkara remeh dan tidak sebesar mana pun.Jika benar, ia remeh selesaikanlah sebagai lelaki budiman. Bukan dengan menyembunyikan diri di dalam kebun kelapa sawit. Jangan malukan Umno dengan berkata: “Alhamdulillah. Borang calon dah diisi. Umno, dulu kini selamanya.” Selain jawatan Ketua Pemuda, Jamal turut mengesahkan bakal mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian. Jamal dalam status berasingan memberitahu beliau tekad untuk terus berkhidmat kepada rakyat menerusi saluran parti itu. “Kita sepakat satu hati menjadikan UBSB (Umno Bahagian Sungai Besar) lebih perkasa dan mantap... InsyaAllah, doa yang terbaik,” katanya. Selain Jamal, tiga lagi calon yang ingin bertanding jawatan ketua pemuda ialah Naib Ketua Pemuda Umno sekarang, Khairul Azwan Harun; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan Pemuda Umno Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Jamalullail Syed Harman. Dalam situasi di mana Umno perlu muhasabah diri dan bersedia untuk melakukan perubahan sama ada secara fizikal mahupun spiritual, pucuk pimpinan dan ahli-ahli parti itu patut bertanya apakah gaya kepimpinan seperti Jamal masih lagi relevan dan sesuai dengan cabaran masa depan dan masa kini yang sedang didepani Umno. Umno sebenarnya tidak memerlukan ini semua. Sebaliknya, Umno memerlukan anjakan paradigma dalam ertikata yang sebenar. Umno perlu bergerak seiringan dengan kehendak massa dan aspirasi lanskap baru politik Malaysia. Sebarang petanda yang cuba disampaikan kepada rakyat jelata menerusi kepimpinan baharu parti itu bakal menentukan halatuju dan masa depan Umno sendiri. Umno memerlukan kepimpinan baharu yang mampu menarik semula kepercayaan dan keyakinan rakyat kepadanya. Khairul Azwan Harun Umno harus memilih lelaki budiman sebagai ketua mereka. Bukan memilih seseorang yang dari semasa ke semasa memalukan parti itu atau mencemarkan imej parti dengan karakter yang sentiasa menjadi bahan mimik dan cemuhan ramai. Ia bukan sahaja tidak membawa Umno ke mana-mana malah akan lebih menjerumuskan parti itu ke lembah kehinaan dan menjadi bahan gelak ketawa massa. Pendek kata, siapa yang bakal memimpin parti itu menjelang hujung bulan ini sangat penting dan jitu untuk kelangsungan masa depan dan hidup atau matinya Umno. Akar umbi kena cermat dan berhati-hati dalam soal ini. Silap pilih pemimpin, nasib Umno akan bertambah merudum. Jangan sampai jadi seperti kata pepatah Melayu 'Sudah Jatuh Ditimpa Tangga..." Pemimpin berkarakter seperti Jamal bukan cerminan masa depan Umno. Maka itu jika, kepimpinan yang ada sekarang tidak berupaya membatalkan pencalonannya, maka akar umbi yang harus membuat keputusan tersebut. Pilihlah yang mampu berkhidmat bukan yang mampu buat gamat. Sekian, terima kasih.