suria

Najib pertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Pekan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan diri mempertahankan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Pekan pada pemilihan parti itu, 30 Jun ini.

“Saya akan terus memimpin Umno Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Pekan,” katanya menerusi catatan di laman Facebook dan Twitter beliau pada Khamis.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian ditetapkan pada 30 Jun dan semua persidangan itu dijalankan serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.

Najib yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta merta pada 12 Mei lepas, pada masa sama menyeru anggota Umno agar meneruskan perjuangan parti itu.

“Sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) (ketika itu) , saya bertanggungjawab atas kekalahan kita dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Anggota Parlimen Pekan itu turut meminta agar anggota Umno bangkit dan tidak lagi berada dalam keadaan bersedih.

“Kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan Umno, agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada Umno.

“Oleh itu, ahli Umno hendaklah kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan Umno,” katanya.

Sementara itu, Najib kini dalam proses membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu dengannya.

Beliau juga memaklumkan akan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Pekan. - BERNAMA

Najib Tun Razak, Umno Pekan

Artikel Sebelum

Artikel Lain