suria

Ringankan hukuman Sirul sebelum bawa pulang - PM

Sirul Azhar Umar.

PETALING JAYA: Hukuman gantung sampai mati yang dikenakan ke atas bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabitkan dengan pembunuhan berprofil tinggi model  warga Mongolia, Altantuya Shaariibu akan diubah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pertimbangan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa Australia membenarkan Sirul diekstradisi ke Malaysia. 

"Kita mungkin akan membatalkan hukuman gantung ke atasnya (Sirul) tetapi mungkin diganti dengan hukuman penjara seumur hidup atau sebagainya, supaya dia boleh kembali ke tanah air," katanya pada sidang media di Putrajaya, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media Britain, The Guardian, bahawa pihak berkuasa Australia telah meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi pesalah, Sirul Azhar Umar dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan.

Ditanya sama ada perbicaraan semula kes Altantuya akan dilaksanakan, Dr Mahathir berkata, pihaknya sedang mengkaji perkara itu.

"Kita diminta untuk melihat perkara itu, kita sedang mempertimbangkannya," tambahnya.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, terpulang kepada Sirul untuk pulang atau sebaliknya jika dia bimbang keselamatannya dirinya.

"Kalau dia rasa nyawanya akan terancam (bila pulang ke Malaysia) daripada pihak lain, dia ada pilihan untuk tidak pulang kerana kita tidak boleh paksa dia," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri turut menafikan laporan berkenaan yang menyebut bahawa Malaysia telah membuat permohonan untuk mengekstradisi Sirul ke Malaysia.

"Kita belum mohon," kata Dr Mahathir.

Memetik sumber, The Guardian melaporkan bahawa bekas pegawai polis, yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh Altantuya, akan meninggalkan Australia selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kos kepulangannya.

Australia sebelum ini menolak ekstradisi Sirul kerana ia melanggar undang-undang negara yang tidak menghantar pulang seseorang yang berdepan dengan hukuman mati.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul (tertuduh kedua) dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Sirul yang kini dalam tahanan di Brisbane, Australia selepas melarikan diri dari negara ini pada 2015.

Altantuya, 28, ditembak mati dan tubuhnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera di sebuah hutan dekat Empangan Subang Dam di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.

Pada 16 Mei lalu, Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga dalam satu perutusan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta supaya membantu menegakkan keadilan dalam kes Altantuya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya Sirul dibawa pulang ke Malaysia untuk perbicaraan semula.

Artikel Lain