suria

Ular sawa kejutkan lelaki ketika waktu sahur

SANDAKAN: Seorang lelaki yang sedang menyediakan makanan untuk sahur dikejutkan oleh tetamu tidak diundang sepanjang tiga meter di rumahnya di Taman Evergreen, Jalan Labuk di sini pada Khamis.

Lelaki berusia 45 tahun itu mendengar bunyi bising di dapur ketika dia terlihat seekor ular sawa berada di belakang almari sebelum menghubungi pihak berkuasa pada pukul 4.55 pagi.

Pegawai APM Sandakan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, APM menerima panggilan berhubung perkara itu daripada Malaysia Emergency Response Services (Mers) dan menghantar enam anggota ke lokasi kejadian.

Pasukan APM tiba pada pukul 5.09 pagi dan berjaya menangkap ular sawa seberat 40 kilogram itu dalam tempoh kurang dari 10 minit.

Kata Ahmad Roslan, ular tersebut dimasukkan ke dalam guni dan dibawa untuk dilepaskan ke habitat asalnya.

Tambahnya, tiga individu yang berada di rumah itu ketika kejadian tidak mengalami kecederaan.

Kes tersebut merupakan kali kedua dikendalikan oleh APM dalam tempoh tujuh hari.

Pada 1 Jun, APM telah dihubungi untuk menangkap seekor ular tedung di dapur sebuah kuil Cina di Jalan Cecily di sini.

APM, ular sawa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain