KUALA KRAI: Dua peniaga yang sedang berniaga di Bazar Ramadan Batu Jong cedera apabila gerai mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pada Ahad. Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa baru sahaja memulakan perniagaan sebelum sebuah Honda HRV dipandu seorang wanita merempuh gerai mereka. Salah seorang mangsa, Nornajwa Mohd Zulkupli, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 cedera pada anggota badan dan sakit pada bahagian perut dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan. Kakaknya, Noryasyma Husnaini Mohd Zulkupli, 23, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja memulakan perniagaan dengan dibantu Nornajwa. Bagaimanapun katanya, dia keluar seketika untuk mengambil air tidak jauh dari lokasi dan sempat melihat gerainya dirempuh. “Secara tiba-tiba kereta itu meluru dan melanggar gerai kami. Adik yang ketika itu sedang berniaga terpelanting,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu. Dia yang berniaga air dan kuih di bazar Ramadan sejak tiga tahun lalu tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku begitu pantas. “Saya hanya mampu melihat gerai dan adik dirempuh. “Kejadian bukan sahaja menyebabkan adik cedera, malah kami juga tidak dapat meneruskan perniagaan kerana meja rosak, kuih dan barangan jualan berselerak,” katanya yang kerugian kira-kira RM2,000. Sementara itu, seorang lagi peniaga, Siti Rokiah Ismail, 34, berkata, dia tidak menyedari kenderaan terbabit meluru ke gerainya kerana sedang membungkus nasi. “Secara tiba-tiba saya dilanggar dan tercampak hampir dua meter. “Selepas itu baru saya sedar gerai dirempuh,” katanya yang mengalami sakit-sakit badan akibat kejadian itu. - Sinar Harian