PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V amat prihatin terhadap bebanan hutang dan keadaan ekonomi negara ketika ini. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, atas sebab itu Sultan Muhammad V perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus. Katanya, Sultan Muhammad V turut tersentuh dan menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada rakyat Malaysia yang bermurah hati menyumbang kepada Tabung Harapan yang diwujudkan kerajaan baru-baru ini. "Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Tuanku juga ingin bersama rakyat menunaikan tanggungjawab. "Baginda juga bertitah agar gaji dan emolumen baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan baginda sehingga 2021," kata Wan Ahmad dalam satu kenyataan pada Isnin. Pada masa sama, Wan Ahmad berkata, Sultan Muhammad V bertitah untuk tidak mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Istana Negara. "Anggaran peruntukan kewangan untuk Majlis Rumah Terbuka tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik," katanya.