suria

Malaysia digambarkan warna-warni, diversiti & terbuka

PETALING JAYA: Keberkatan Ramadan di negara ni bukan sahaja dirasai mereka yang beragama Islam, malah ia turut memberi impak mendalam buat insan bukan Islam.

Apatah lagi mereka yang berasal dari negara majoriti bukan Islam, pengalaman berpuasa di Malaysia tentunya sesuatu yang baharu dan mengujakan.

Bertandang ke Malaysia selama setahun menerusi program pertukaran pelajar, empat remaja ini berkongsi pengalaman mereka berpuasa buat kali pertama.

Thomas Muller, 22, dari Jerman; Simona Simonis, 17, dari Itali dan Montana Russel, 17, dari Amerika Syarikat serta Kaho Asao, 16, dari Jepun ternyata tidak kekok berpuasa seperti umat Islam yang lain.

Malah, keterujaan berpuasa bertambah manis apabila mereka dapat merasai pengalaman iftar beramai-ramai di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Montana, dia ternyata teruja melihat ramai umat Islam berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa pada hari berkenaan. Ia sesuatu yang baharu, saya tidak pernah merasai pengalaman seperti ini.

"Melihat begitu ramai orang Islam duduk bersama dengan makanan dan minuman di hadapan mereka sambil menunggu azan untuk berbuka, ia sangat unik," ujarnya.

Begitu juga dengan Simona, dia ternyata senada dengan gadis kelahiran Collorado itu. Ujarnya, pengalaman berpuasa dan berbuka bersama-sama menunjukkan satu elemen perpaduan yang utuh dan unik.

"Setelah azan dilaungkan, boleh dengar semua orang buka bungkusan makanan mereka secara serentak, sangat menarik bagi saya," kata Simona.

Selain pengalaman berpuasa, kedatangan mereka ke Malaysia ternyata mengubah persepsi khusunya mengenai Islamophobia.

Menurut Thomas, kepelbagaian agama di negara ini adalah sesuatu yang baharu untuknya.

"Sewaktu di Jerman dahulu saya sering dengar mengenai Islamophobia, tapi saya tak pernah rasa apa-apa pun mengenainya.

"Bila tinggal di Malaysia bersama keluarga angkat Islam, ia ternyata memberi gambaran jelas dan mengubah persepsi. Sebenarnya tiada apa yang perlu ditakutkan," ujar anak kelahiran Hamburg itu.

Tambah Thomas lagi, dia tidak sabar untuk pulang ke tanah kelahirannya bagi memperbetulkan persepsi rakan-rakannya mengenai agama Islam.

Berbeza dengan Thomas, Simona dan Montana yang datang ke Malaysia sejak Jun tahun lalu, Kaho yang berasal dari Kobe baru sahaja menjalani program pertukaran pelajar ke negara ini sejak Januari tahun ini.

Dia yang masih lagi bertatih untuk memahami bahasa Melayu ternyata tidak kekok menjamah makanan tradisional negara ini.

Memilih untuk berbuka dengan bubur lambuk, dia mengakui aspek makanan adalah salah satu keistimewaan negara ini.

Sewaktu diminta memilih satu perkataan untuk menggambarkan Malaysia secara keseluruhan, Kaho pantas memilih perkataan 'makanan'.

Bagi Thomas pula, diversiti merupakan perkataan yang tepat untuk melambangkan negara Malaysia.

Menurut Simona, dia menggambarkan Malaysia sebagai berwarna-warni, manakala bagi Montana, dia memilih perkataan terbuka.

Walaupun berbeza jawapan, mereka berkongsi sentimen yang sama iaitu Malaysia adalah sebuah negara istimewa dan sudah dianggap seperti negara sendiri.

Program pertukaran pelajar yang disertai mereka merupakan di bawah kelolaan AFS iaitu badan pertukaran budaya yang sudah ditubuhkan di Malaysia sejak 60 tahun lalu.

Antara nama-nama besar yang pernah mengikuti program pertukaran pekajar AFS ialah Dr Amalina Che Bakri dan penyanyi antarabangsa kelahiran Malaysia, Yuna.

Jerman, Montana, AFS

Artikel Lain