PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membuat kejutan apabila mencadangkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti itu pada sesi pemilihan akan datang. Menerusi video yang tular di media sosial, Jamal turut mencadangkan naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya. "Saya mencadangkan untuk pemilihan yang akan datang ini supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden Umno dan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai timbalan presiden Umno," katanya dalam sebahagian daripada video yang berdurasi lebih seminit itu. Menerusi video tersebut juga, Jamal sekali lagi mengumumkan keputusan beliau bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti itu. "Kenapa saya bertanding? Di dalam Umno menghadapi cabaran yang sangat mencabar ini, insyaAllah jika saya dipilih oleh perwakilan Pemuda, saya akan beriltizam untuk membangunkan kembali Pemuda supaya Pemuda Umno ini bermaruah dan terus dihormati demi kejayaan di waktu yang akan datang," katanya. Selain itu, Jamal turut mencadangkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan naib presiden yang menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertanding bagi jawatan naib presiden parti. Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong sebelum ini mengumumkan untuk tidak bertanding dalam sebarang jawatan di peringkat pusat . Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disebut-sebut akan bertanding jawatan Presiden Umno. Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li dilaporkan berkata, akan beristikharah bagi mendapat petunjuk sama ada mahu menawarkan diri bertanding jawatan presiden atau tidak, selepas mengambil kira desakan ramai yang inginkan beliau merebut jawatan tersebut.