JOHOR BAHRU: Seorang ibu dan anak perempuannya berusia dua tahun maut manakala suaminya cedera parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 79, Jalan Johor-Ayer Hitam, Kluang, Rabu. Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, kereta mangsa jenis Toyota Vios terbabas ke laluan bertentangan dalam keadaan cuaca hujan dan bertembung dengan lori di jalan selekoh di laluan berkenaan. Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa Nurul Aqilah Tukoi, 25 dan anaknya, Amanda Nur Keisha Akmal Lutfi meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami yang pemandu kereta, Akmal Lufti Esa, 32, dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang. “Keluarga tersebut dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju ke Ayer Hitam dan ketika tiba di satu kawasan, Akmal Lufti dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan, menyebabkannya melanggar bahagian depan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan. Bagaimanapun, katanya, pemandu lori berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama