suria

Proses anggaran nilai barangan mewah belum selesai

KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan terhadap barangan bernilai yang disita daripada tiga unit kondominium mewah Pavilion Residences di sini pada 17 Mei lalu berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata pihaknya masih dalam proses identifikasi, pensahihan dan penilaian barang kes yang termasuk jam tangan, barang kemas dan barangan berharga yang lain.“

Laporan yang menyebut proses anggaran nilai jam tangan dan barang kemas sudah selesai adalah pramatang kerana kami masih belum selesai dengan proses pensahihan dan penilaian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, Selasa, lalu, yang menyebut proses anggaran nilai barang rampasan berkaitan termasuk 433 utas jam tangan berjenama dalam 37 beg yang dsita di kondominium berkenaan telah selesai dan bernilai RM80 juta keseluruhan.

Laporan itu turut menyebut penilaian harga jam tangan tersebut turut termasuk seutas jam tangan Rolex bernilai RM3.5 juta.

Amar Singh berkata satu sidang media akan diadakan untuk mengumumkan nilai  sebenar jam tangan dan barangan kemas yang disita itu sebaik sahaja proses pensahihan dan penilaian selesai.

Justeru, beliau menasihatkan pengamal media dan orang awam supaya sabar mengenai perkara tersebut.- Bernama

Barang rampasan, kondo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain