suria

Aidilfitri di Madinah

JUTAAN jemaah membanjiri Masjid Nabawi sebelum solat Subuh untuk memastikan berpeluang mengerjakan solat sunat Aidilfitri di dalam masjid dan perkarangannya.

Kelewatan berbuat demikian menyebabkan jemaah bersolat di luar pagar perkarangan masjid dan jalan raya. Biarpun jumlah jemaah yang berhari raya di Madinah tidak seramai di kota Makkah tetapi jemaah  perlu bersedia awal untuk memastikan mereka mendapat tempat di dalam masjid untuk solat berjemaah Subuh dan Aidilfitri.

Warga Malaysia yang menyambut Aidilfitri di Madinah, Nor Fatimah Aisyah Shahril, 24, berkata sambutan Aidilfitri biasa saja kerana lebih tertumpu kepada ibadat semata-mata.


Beliau yang berkunjung ke Tanah Suci untuk kali pertama bersama-sama ibu bapa, adik-beradik dan neneknya, bersyukur serta gembira kerana berpeluang berhari raya di Madinah dan berangkat ke Makkah untuk menyempurnakan umrah selepas solat Jumaat pada Aidilfitri.

“Sebelum Subuh jemaah sudah mula datang ke masjid. Kami keluar dari hotel penginapan pada jam 3.45 pagi. Masa itu masjid dah mula penuh dan kami terpaksa bersolat di perkarangan masjid iaitu depan pintu 15. Solat raya pada 5.48 pagi dan pada 6.19 pagi khutbah serta doa disempurnakan oleh imam,” katanya menerusi aplikasi whatsapp.


Menurutnya, sebahagian besar jemaah umrah adalah dari Pakistan dan India manakala perkataan Eid Mubarak tidak lekang daripada bibir jemaah apabila bersua atau terserempak di mana-mana sahaja biarpun tidak saling mengenali.

Jemaah saling bersalaman dengan wajah penuh keceriaan pada hari kemenangan setelah sebulan berpuasa sepanjang Ramadan.

Jemaah wanita pula, katanya, kelihatan berhias diri dengan mamkai inai di jari dan tangan sebelum pulang ke penginapan atau rumah masing-masing. Usai solat sunat Aidilfitri, jemaah bertebaran memenuhi kedai makan.

Mereka berbelanja dan menikmati makanan itu di perkarangan masjid, sekitar tempat makan atau di pinggir jalan.


Ramai juga yang merebut peluang untuk bersedekah dengan memberi manisan dan gula-gula kepada jemaah lain, terutama kanak-kanak.

Jemaah yang belum menyempurnakan umrah dan dijadualkan berangkat ke Makkah kemudiannya melaksanakan ziarah wada’ di makam Rasulullah atau berjalan menuju ke kawasan kubah hijau untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah S.A.W.

Aidilfitri, Madinah

Artikel Lain