suria

Presiden Umno: Zahid terbuka Ku Li tanding

(Kiri) Zahid (foto Low Boon Tat/The Star) dan Ku Li (foto Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersikap terbuka mengenai Tengku Razaleigh Hamzah yang mengesahkan menawarkan diri bertanding bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan parti. 

Timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas presiden itu berkata, pengumuman Tengku Razaleigh merupakan bukti komitmen bahawa semua jawatan dalam Umno terbuka untuk ditandingi, sekali gus memperlihatkan parti lebih demokratik.

"Saya sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kelak menerima siapa sahaja yang menang untuk membentuk kepimpinan Umno yang kuat.

"Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri. Jangan jadikan 'menang jadi arang dan kalah menjadi abu' sebagai tunjang pertandingan ini," katanya dalam satu kenyataan, petang Sabtu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno tidak seharusnya terbelah dua seperti yang terjadi pada 1987 meskipun keterbukaan diterjemahkan semula pelaksanaannya.

Beliau menambah, keutamaan untuk menjaga jemaah Umno lebih penting dari sesuatu jawatan yang ditandingi. 

"Ini kerana sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik. Umno kini terkeluar dari gelanggang kekuasaan.

"Tempoh berkempen tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri. Ia hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah," katanya.

Zahid merujuk kepada pemilihan pucuk pimpinan Umno pada 1987 yang menyaksikan pertandingan sengit bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, membawa perpecahan besar kepada parti dan seterusnya pengharaman Umno pada 1988.

Peristiwa hitam itu mendorong kepada cadangan agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Zahid yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dilaporkan sedia bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti akan datang.

Terdahulu pada Sabtu, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li akhirnya menawarkan diri sebagai calon presiden Umno bagi pemilihan 2018 parti itu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan masih belum membuat pakatan dengan pihak lain kerana pemilihan ini adalah hak kepada ahli akar umbi Umno untuk membuat pilihan mereka.

Artikel Berikut

Artikel Lain