PETALING JAYA: Bergelar selebriti di media sosial menjadikan sambutan lebaran figura ini berpusing 360 darjah sejak beberapa tahun lalu. Jika dahulunya mereka sekadar beraya bersama keluarga, sahabat dan sanak saudara, kini tanggungjawab kepada pengikut juga harus dilunaskan. Lantaran itu, mStar Online membawakan dua Instafamous muda untuk berkongsi mengenai kisah sambutan Aidilfitri mereka. Jika anda kaki Instagram, nama Fakhrul Kulen dan Asyraf Islam pastinya sudah tidak asing lagi. Mempunyai puluhan, malah ratusan ribu pengikut, kehidupan dua jejaka muda ini sering menjadi perhatian ramai persis selebriti sebenar. Bercerita mengenai hal itu, Fakhrul Kulen atau nama sebenarnya Mohd Fadzlin Zakaria berkata, atmosfera lebaran ternyata menjadi lebih meriah sejak dia mula dikenali ramai sekitar 2016. Menurut jejaka berusia 26 tahun itu, dia dan keluarganya di Marang, Terengganu turut menganjurkan rumah terbuka bagi menerima kehadiran rakan-rakan serta peminat yang saban hari makin bertambah. “Walaupun tidak mengenali pengikut saya secara rapat, tetapi saya menerima kehadiran mereka untuk datang beraya dan saya layan seperti kawan-kawan sendiri. "Sememangnya sangat meriah. Kalau dahulu raya biasa sahaja, boleh dikatakan agak hambar. Tapi bila sudah dikenali, suasana makin gamat dan meriah,” ujarnya. Tambahnya lagi, lebaran bertambah seronok apabila ada pengikut yang mahu memberi hadiah dan menaja kelengkapan raya untuknya. Berkongsi nada serupa, Muhammad Asyraf Samad, 23, berkata, dia turut ditawarkan pebagai hadiah dalam kalangan pengikut dan pengusaha kedai atas talian (Insta Shop). “Macam-macam yang mereka nak bagi. Baju raya, biskut raya, produk-produk kecantikan dan sebagainya. Tapi saya tidaklah tamak main terima je semua. “Tapi itu merupakan salah satu kelebihan apabila ada pengikut tersendiri, ia menjadikan persiapan dan sambutan raya sangat berbeza berbanding sewaktu tidak dikenali dulu. “Saya mula dikenali sekitar 2014. Sejak itu, bukan saya sahaja yang teruja untuk raya tapi pengikut pun tertunggu-tunggu apa yang saya akan gayakan pada hari lebaran,” ujar anak kelahiran Melaka itu. Dalam pada itu, tempias populariti yang kedengaran indah kadang-kala boleh bertukar negatif jika ada pengikut yang terlebih fanatik. Mengulas mengenai perkara itu, dua Instafamous itu bersetuju bahawa ada harga yang perlu dibayar untuk sebuah populariti. Menurut Fakhrul, ada pengikut yang bertindak di luar batasan apabila mengekori kenderaannya sehingga ke kawasan rumah. Lebih teruk, ada juga yang menghantar mesej dan menawarkan sejumlah wang untuk dia melakukan perkara yang tidak masuk akal. “Dalam ramai-ramai pengikut yang baik, ada juga yang berniat tidak baik. Kalau pasal mesej bukan-bukan tu memang tak terkira. “Ada yang minta gambar pelik-pelik dan sanggup membayar wang kepada saya,” dedah Fakhrul. Menurut Asyraf pula,walaupun kedengaran seronok mempunyai ramai peminat, ada kalanya ia boleh memeningkan kepala. Jelasnya, dia juga perlu mempunyai kesabaran yang tinggi kerana segala tindak tanduknya sering menjadi perhatian ramai. "Di hari raya misalnya, bila dah beraya sepanjang hari, kita pun penat. Tapi kalau ada yang masih nak beraya, tak kan la saya nak buat muka pula, jadi nak tak nak terpaksa layan juga. “Kita pun macam manusia biasa, yang berbezanya sebab orang kenal kita. Ada benda tak kena sikit je, akan jadi buah mulut,” ujar graduan dalam bidang kejuruteraan itu. Sepanjang Ramadan, dua anak muda ini mengambil peluang menjalankan perniagaan barangan kelengkapan raya seperti baju Melayu dan beberapa produk lain. Fakhrul dan Asyraf turut bersetuju bahawa jumlah pengikut yang ramai sememangnya menjadi kelebihan dalam perniagaan yang diusahakan mereka.