suria

Adilfitri paling bermakna!

BAGI pasangan yang baharu mendirikan rumahtangga, kemanisan hidup bersama sememangnya tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

Semuanya begitu indah. Apatah lagi Syawal kali ini menjadi Aidilfitri pertama diraikan bersama sebagai pasangan suami isteri.

Perasaan ini turut dikongsi penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman bersama suaminya, Rody yang juga gitaris kumpulan Kristal.

Nur Izwani atau lebih mesra disapa Niena teruja untuk merasai suasana Aidilfitri di kampung suaminya di Taiping, Perak.

"Raya tahun ini amat bermakna kerana saya menyambutnya sebagai isteri dan ahli keluarga saya juga sudah bertambah.

"Ini juga kali pertama saya beraya di rumah mertua. Jadi bolehlah kenal-kenal dengan saudara mara sebelah suami nanti," katanya kepada mStar Online.

Mengenai tema baju raya kali ini, Niena memberitahu mereka sepakat memilih warna hijau emerald.

Niena dan Rody disatukan pada 27 April lalu. foto IG Niena Azman.

"Kebetulan kami kahwin pun nak dekat puasa, jadi barang hantaran dibeli sekali untuk persiapan raya. Jadi tahun ini tema baju kami hijau emerald.

"Saya akan pakai baju kurung moden yang Rody hadiahkan masa nikah. Rody pula akan pakai baju melayu Johor yang Niena beri," katanya.

Memandangkan ini kali pertama beraya berjauhan dengan keluarga, Niena berkata dia pasti teringat nasi ambeng yang dimasak ibunya di pagi raya.

"Sedih jugalah sebab ini kali pertama tak beraya dengan keluarga. Sudah tentu saya akan merindui nasi ambeng yang mak masak nanti," katanya.

Pasangan ini akan pulang ke Taiping dua hari sebelum raya dan kemudiannya ke rumah keluarga Niena di Kulai, Johor pada hari raya ketiga.

Ditanya mengenai kehidupannya ketika ini, Niena berkata dia cukup bertuah kerana dipertemukan dengan suami yang penyayang dan tidak cerewet.

Niena aktif bermain futsal sejak berusia 17 tahun.

"Saya masih pergi latihan seperti biasa cuma bila dah hidup berdua ni kena jaga dan ambil tahu kebajikan suami.

"Nasib Rody dah faham mengenai minat saya. Dia juga tak cerewet bab makan. Apa Niena masak dia makan cuma dia tak boleh makan udang," katanya.

Sama seperti insan lain, Niena turut berkongsi kisah raya yang sentiasa terpahat di ingatannya sehingga hari ini.

Niena berkata dia pernah beraya dalam keadaan mata bengkak akibat terkena rembatan bola.

"Sebelum raya ada latihan bola, ntah macam mana bola terkena pula mata. Nak tak nak hari pertama raya itu terpaksalah beraya dengan mata bengkak.

"Bila teringat semula kelakarlah pula. Nasib baiklah orang dah tau Niena ni memang kaki bola," katanya.

Niena Azman, futsal, Rody, Kristal

Artikel Lain