suria

Ismail Kassim keluar Umno

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengumumkan keluar Umno.

Beliau dijangka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Namun, Ismail membayangkan beliau akan akan menjadi Adun Bebas buat masa ini.

Sebuah portal berita melaporkan Ismail yang juga adik kepada Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu.

Kata Ismail, keputusan itu juga dibuat tanpa pengetahuan abangnya.

“Saya bukan ‘puppet’ (boneka) dan dia (Shahidan) nak tahu pasal apa?

“Melalui pengumuman ini secara tidak langsung beliau (Shahidan) akan tahu. Saya nak buktikan bahawa soal adik beradik tak timbul dalam politik. Saya berharap dengan keputusan ini semua pihak dapat menerima dengan lapang dada,” katanya.

Ismail menyertai Umno sejak 30 tahun lalu ketika berusia 28 tahun dan pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Perlis, Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau.

Pada PRU-14, Ismail mengekalkan kemenangan BN di DUN Tambun Tulang dan namanya antara yang dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar Perlis oleh abangnya.

Bagaimanapun Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melantik Adun Bintong, Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar.

Ismail Kassim, Umno

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan