PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia mahu semua pengusaha restoran di negara ini hanya mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja bermula 1 Julai. Menterinya, M. Kulasegaran (gambar) berkata, semua pengusaha akan diberi masa sehingga hujung tahun ini untuk mematuhi syarat tersebut. Beliau berkata peraturan baharu itu hanya membenarkan penduduk tempatan sebagai tukang masak di semua restoran berkuat kuasa 1 Jan, 2019. ""Jadi kita mahu penduduk tempatan bekerja sebagai tukang masak. "Tidak akan ada kompromi ... kami memberi anda notis untuk melakukannya sebelum 31 Disember. "Jika anda tidak melakukannya kami tidak boleh bantu "katanya kepada Bernama pada Khamis. Terdahulu, Kulasegaran mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Pengusaha Restoran (Prisma) di sini. Beliau berkata, kementerian akan mengadakan lebih banyak mesyuarat bersama Prisma dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dalam masa terdekat berhubung perkara itu. Menurut Kulasegaran, peraturan itu akan mengurangkan kebergantungan restoran tempatan kepada tenaga kerja asing dan bagi memastikan kualiti makanan terjamin.