KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Umno mampu kembali pulih dan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab. Memetik laporan Astro Awani, Anwar percaya parti itu sedang melalui saat yang getir dan memerlukan semangat baharu. "Dia hidup dalam budaya kuasa dan budaya wang yang cukup banyak dan untuk bertahan, parti itu memerlukan semangat baharu," katanya dalam satu temubual. Tambahnya, Umno mempunyai hak sebagai sebuah parti politik untuk bangkit dan memainkan peranan dalam arena politik negara. "Mustahil kalau kita kata semua dalam Umno itu rosak, punah belaka. Itu tak betul. "Pengalaman kalah teruk dan perpecahan dalaman BN pastinya mendewasakan Umno dan mudah-mudahan parti itu berperanan memantau Pakatan Harapan dan menjadi suara yang berkesan di Parlimen sebagai pembangkang," ujarnya. - Sinar Online