SUNGAI BESAR: Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang masih dalam buruan polis tidak menolak kemungkinan tampil memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan itu sekiranya beliau memenangi pemilihan parti itu, hari ini. Jamal berkata, beliau ketika ini berada dalam keadaan sihat dan masih berada dalam negara. "Jangan risau, esok (hari ini) gua (saya) menang ketua pemuda Umno, lusa (esok) gua datang balai. "Tak ada masalah, gua tak cabut lari, gua mantap punya kaki, sebab depa nak aniaya, gua cabutlah," katanya. Jamal tampil dalam video dipercayai dihantar sendiri beliau menerusi aplikasi WhatsApp kumpulan. Video berdurasi 39 saat itu memaparkan Jamal berlatar belakangkan tirai biru dengan mengenakan jaket belang hijau dan hitam. Dalam satu lagi video berasingan, Jamal memberitahu, calon pemuda Umno juga bukanlah dalam kalangan mereka yang hanya banyak bercakap, sebaliknya mesti berani di lapangan . "Jangan bimbang kena tangkap, kena reman dan kena tuduh. "(Saya) dah berpuluh-puluh tuduhan.. tak bimbang pun, tapi sampai sekarang tak bisa dikesan dalam radar. "Ini baru boleh jadi pemimpin ketua... dikepung, direman pun boleh lolos," katanya dalam video berdurasi 44 saat itu. Jamal tersenarai dalam sembilan calon Ketua Pemuda yang bakal bertanding dalam pemilihan Umno termasuk Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun. Jamal sebelum ini dilaporkan menghilangkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah. - Sinar Online