suria

Zambry tidak bertanding Naib Presiden Umno

LUMUT: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, berkata ingin memberi ruang kepada calon lain, selain memberi tumpuan pada peringkat Majlis Tertinggi.

“Saya hanya akan cuba memberi khidmat sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno jika parti memikirkan saya diperlukan, khususnya dalam konteks pemulihan parti dan saya akan beri yang terbaik,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Lumut 2018, di sini Sabtu.

Sebelum ini, menerusi laman sosial Facebook beliau, Zambry mengumumkan akan bertanding jawatan Anggota Majlis Tertinggi Umno bagi sesi 2018-2021 pada pemilihan parti itu yang dijadualkan pada 30 Jun.

Ketika ditanya kemungkinan akan mengetuai pembangkang negeri, beliau yang juga bekas menteri besar Perak berkata perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan dan mengambil pendekatan bersikap terbuka dengan sebarang keputusan kerana ia adalah tugas besar.

“Sebagai Pengerusi BN Perak secara dasarnya mereka akan melantik saya sebagai ketua pembangkang, namun ini bukan mengenai saya, ini adalah mengenai parti.

“Jika parti memilih saya atau orang lain, kita akan sentiasa bersikap terbuka. Semua bergantung kepada Barisan Nasional,” katanya. - BERNAMA

Zambry Abd Kadir, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Lain