suria

Asyraf Wajdi dipilih Ketua Pemuda Umno, Zahida terajui Puteri

Asyraf Wajdi (kiri) dan Zahida, masing-masing dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno dan Ketua Puteri Umno yang baharu.

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dipilih sebagai ketua Pemuda Umno yang baharu, manakala Datuk Zahida Zarik Khan disahkan mengetuai pergerakan Puteri.

Perkara tersebut diumumkan menerusi akaun Twitter pemantau Umno 2018 @PemilihanUmno2018 pada tengah hari Ahad.

“Secara rasminya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang baru buat penggal 2018-2021,” menurut kenyataan itu.

Asyraf menewaskan pencabarnya, Senator Khairul Azwan Harun, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Berdasarkan keputusan setakat 12.30 tengah hari, Asyraf memperoleh 65 undi, Khairul Azwan (62), Mohd Shahar (51) dan Jamal (2).

Sementara itu, Zahida menang dalam saingan satu lawan satu dengan Nor Hazreena Mohamad Hashim untuk  memimpin sayap itu bagi penggal 2018-2021.

Ketua Puteri Umno Bahagian Pandan itu sebelum ini merupakan Naib Ketua Puteri.

Perwakilan daripada 191 Bahagian Umno menunaikan tanggungjawab masing-masing mengundi bagi memilih kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu, dengan didahului mesyuarat perwakilan bermula pagi Sabtu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain