PETALING JAYA: Datuk Dr Noraini Ahmad diumum sebagai ketua baharu Wanita Umno bagi penggal 2018-2021. Keputusan itu diumumkan secara rasmi menerusi Twitter @PemilihanUMNO 2018, Ahad malam. "Secara rasminya, Datuk Dr Noraini Ahmad @norainiahmad67 adalah Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia yang baru buat penggal 2018-2021. "Tahniah diucapkan kepada Datuk Noraini atas kemenangan beliau dan selamat menjalankan tugas," demikian menurut Twitter tersebut. Ahli Parlimen Parit Sulong itu mengetepikan dua lagi lawannya iaitu Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk Azizah Mohd Dun. Noraini menyerahkan borang pencalonan Ketua Wanita Umno pada 6 Jun lalu selepas Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti kali ini.