PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan telah melengkapkan barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH). "Nama dah diputuskan," demikian kata Perdana Menteri. Pengerusi PH itu mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini, petang Isnin. Dr Mahathir berkata, majlis angkat sumpah jawatan melibatkan semua 15 menteri akan diadakan dalam masa terdekat. "Tunggu bila Agong (Yang di-Pertuan Agong) ada kelapangan," katanya. Sebelum ini, 13 menteri telah menjalankan tugas masing-masing dan kini baki 15 lagi akan melengkapkan Kabinet yang diterajui Dr Mahathir menjadi 28 semuanya. Ditanya bila pengumuman senarai baki jemaah menteri berkenaan akan dibuat, Dr Mahathir menjawab ringkas: "Apabila majlis angkat sumpah diadakan." Pada 21 Mei lalu, 13 menteri baharu mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Pakatan Harapan yang berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu bagaimanapun hanya mengumumkan 13 menteri Kabinet. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama tiga menteri kanan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan). Barisan Kabinet lain adalah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. Ini termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Menteri Tenaga Manusia, Kulasegaran V.Murugeson. Pada 10 Mei lalu, iaitu sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Dilaporkan, Kabinet Malaysia di bawah Dr Mahathir bakal menyaksikan seramai 28 orang menteri dilantik berbanding 35 ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.