suria

Lagi kes cacing dalam sardin

Gambar hiasan cacing dalam sardin.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah menahan dua kontena berisi sardin dalam tin yang mengandungi cacing pada 14 Mei lalu.

Maqis dalam satu kenyataan berkata, sardin dalam tin jenama Ranesa itu dibawa masuk dari China melalui pintu masuk North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang dengan anggaran berat 36,720 kilogram dan bernilai RM199,797.24.

Katanya, hasil pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa sampel tin sardin membawa kepada penemuan bendasing iaitu cacing.

"Cacing tersebut kemungkinan daripada Genus Anisakis spp yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis pada manusia.

Anisakiasis adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal (seperti perut dan usus) manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.

"Penyakit ini biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit Anisakis spp," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, perbuatan mengimport melalui pintu masuk apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Kes ini disiasat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, sebarang pengimportan ikan sardin perlu mendapatkan permit import dari Maqis.

"Walaupun permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Maqis juga akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu seperti ini tidak akan berulang.

"Perkara ini amat penting bagi memastikan sebarang produk ikan seperti ikan sardin yang diimport ke negara kita sentiasa selamat, bersih dan tidak cemar dengan bendasing seperti cacing," kata kenyataan itu.-Sinar Harian

Cacing, sardin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain