SHAH ALAM: Meskipun terpalit pelbagai kontroversi sebelum ini, sambutan raya anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar tetap meriah bersama keluarga. Menceritakan kisah rayanya, Nik Omar berkata, sambutan pada tahun ini tiada beza seperti tahun sebelum ini. "Sambutan raya kali ini alhamdulillah, hari pertama raya dirumah keluargalah sebab biasanya zaman Tok Guru dahulu pun selepas sembahyang raya ayah akan buat jamuan, kemudian petang ana (saya) akan gerak ke Terengganu kerana isteri orang sana, sebagaimana tahun lepas tahun-tahun ini pun macam itu juga. "Walaupun berlaku kontroversi dengan keluarga tapi alhamudlillah dari sudut hubungan itu kita jaga, bahkan kitalah yang lebih utama nak jaga hubungan, ana dan keluarga Tok Guru misalnya ana anak kedua anak sulung lelaki , jadi sebab kita lebih tua untuk jaga hubungan tersebut, secara peribadi alhamdullilah hubungan kekeluargaan saya jaga," katanya kepada Sinar Harian. Mengulas mengenai isu kekeluargaan yang timbul selama ini, Nik Omar menegaskan sehingga sekarang isu yang timbul sebenarnya lebih kepada perbezaan pandangan di sudut pendekatan politik ia bukan babitkan akidah atau babitkan iman cuma kaedah yang berlainan. "Cuma ini benda baru mungkin kejutan bagi mereka tapi saya biasanya, dalam tafsirkan pendekatan yang lebih baik , ana buat keputusan pun tidak terasa sikit pun jejaskan iman dan akidah, cuma nampak peluang yang sepatutnya kita guna sebagai rakyat Malaysia nak pilih kerajaan yang lebih baik. "Kita nampak hanya ada dua pilihan sama ada nak kekal kerajaan sedia ada atau pilih Pakatan Harapan, jadi saya bersama Harapan kerana sebagai tunjuk sokongan sekiranya penglibatan kita bantu ke arah kemenangan," katanya. Sementara itu, menyentuh secara khusus mengenai hubungannya dengan ibunya, Nik Omar berkata, hubungannya tetap terpelihara dan baik. "Dalam isu bonda ini, sehingga sekarang tak nak guna media untuk selesaikan masalah keluarga, jadi sehingga kini hampir setiap kali selepas ketiadaan ayah mana-mana ana nak pergi perjalanan jauh, terutamnya keluar Kelantan biasanya ana akan jumpa bonda kita salam cium tangan dan minta doa untuk ana," katanya.