suria

Polis tahu lokasi Jamal di Indonesia - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Lokasi Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang dikatakan menghilangkan diri ke Indonesia telah diketahui.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengesahkan Jamal berada di Indonesia berkata, lokasi pemimpin itu telah dikenal pasti.

“Kita telah bekerjasama dengan Polis Indonesia dan semuanya berjalan lancar.

“Mereka (Polis Indonesia) telah berikan bayangan tindakan susulan untuk menahan Jamal. Kita akan ambil tindakan dan bawa beliau balik ke Malaysia,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Aidilfitri di Bukit Aman, Selasa.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Jamal yang dipercayai telah melarikan diri ke sebuah kepulauan di negara jiran itu.

Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang. - Sinar Harian

Jamal Yunos, Polis

Artikel Lain