suria

Kakak kongsi cerita adik bunuh diri, mahu wujud kesedaran

PETALING JAYA: Topik mengenai gangguan mental, kemurungan dan tekanan perasaan yang dahulunya dianggap memalukan semakin diterima positif rakyat di negara ini.

Susulan beberapa siri laporan mengenai masalah kesihatan mental yang mendorong kepada tindakan bunuh diri, masyarakat mula membuka mata dan mengambil serius isu ini.

Turut mendapat perhatian adalah perkongsian seorang wanita di Facebook mengenai kisah adiknya yang dikenali sebagai Mirza.

Menurut Nurul Hasanah, 33, adiknya yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Osaka, Jepun, bertindak menamatkan riwayatnya sendiri akibat kemurungan, April lalu.

"Sejujurnya saya sangat terkesan dengan apa yang berlaku. Saya memang menyesal sebab tak paksa dia pergi jumpa doktor.

"Ada dalam kalangan ahli keluarga yang minta saya padam perkongsian di Facebook, tapi saya rasa sikap nak jaga air muka macam ni lah yang buat orang kita susah nak terima benda ni," kata Nurul Hasanah ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

-foto FB Nur Brkich

Mengimbas latar belakang keluarganya, Nurul Hasanah berkata mereka sekeluarga tinggal di Amerika Syarikat (AS) sehingga tahun 1998.

Jelasnya, Mirza berusia lima tahun ketika mereka pulang ke Malaysia.

"Saya rasa dia mula mengalami kemurungan sejak sekolah rendah, sekitar tahun 2001," katanya sambil menambah adiknya itu adalah seorang budak yang ceria.

Bagaimanapun katanya, semakin meningkat dewasa Mirza merupakan seorang yang ramah, sentiasa tersenyum dan begitu obses dengan semua benda berkaitan negara Jepun.

Malah, kehidupannya kelihatan sempurna kerana dia berjaya melanjutkan pelajaran ke negara impiannya dan berpeluang melakukan semua perkara yang diangankan selama ini.

"Dia seorang kanak-kanak yang pintar, dia juga boleh bercakap dengan sesiapa pun tanpa rasa malu. Apa yang buat seorang yang ceria seperti Mirza bertindak begitu sekali?" soalnya di laman Facebook sebelum bercerita lebih lanjut mengenai kisah adiknya.

Apa yang lebih menyedihkan, pemuda itu membunuh diri sebulan selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-24, baru-baru ini.

-foto FB Nur Brkich

Menurut Nurul Hasanah yang dikenali dengan nama Nur Brkich di Facebook, dia sekeluarga telah berangkat ke Jepun untuk membuat pengecaman sebelum jenazah Mirza dikebumikan di Wakayama.

"Sebagai kakak, saya kenal dia sebagai semua yang di atas tetapi saya juga tahu tentang sisinya yang sentiasa sedih dan murung. Dia rasakan kalau dia melayan sangat perasaanya, dia seorang yang lemah.

"Semakin membesar, dia selalu terasa dengan benda-benda yang pada orang lain bukan benda yang besar. Bila dia kemurungan, kami cakap atau buat apa saja pun takkan dapat buat dia ceria kembali," tulisnya panjang di Facebook.

Perkongsian berkenaan menerima lebih 1,000 tanda suka dan turut dikongsi lebih 1,000 pengguna Facebook.

Malah, ia turut dikongsi oleh seorang netizen di laman Twitter dan sudah diulang kicau (retweet) lebih 20,000 kali.

Wanita itu yang tinggal di Perth, Australia berterima kasih kepada semua netizen yang berkongsi posting berkenaan.

Katanya, ia diharap dapat memainkan peranan untuk mengurangkan stigma masyarakat terhadap penyakit mental dan menggalakkan sokongan untuk mereka yang mengalaminya.

"Bagi yang mengalami depresi, saya harap mereka akui perkara itu pada diri sendiri. Cuba cari bantuan.

"Kalau tak boleh luahkan pada kawan atau keluarga, banyak badan-badan di luar sana yang boleh membantu," tambahnya lagi.

kemurungan, mental, bunuh diri

Artikel Sebelum

Artikel Lain