suria

"Politik wang dalam Umno seperti kanser"

KUALA LUMPUR: Tiga calon utama Presiden Umno - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin masing-masing menjanjikan perubahan drastik untuk membawa parti itu kembali diterima dan disokong rakyat pada pilihan raya umum ke-15 selepas ditolak sebahagian besar rakyat pada pilihan raya umum, bulan lepas.

Dalam rancangan Debat Presiden Umno 2018 yang disiarkan secara langsung di Astro Awani, Tengku Razaleigh mahu parti itu memberikan lebih ruang kepada anggota parti menyuarakan pandangan tanpa dikongkong dan dikawal pemimpin atasan, sementara Khairy menawarkan keterbukaan mencari bakat baharu dan membuang kekebalan presiden sekali gus menjadi pembangkang yang berwibawa.

Ahmad Zahid, yang ketika ini pemangku presiden mahu mewujudkan Umno 3.0 yang mengembalikan roh perjuangan parti itu dalam menegakkan perkara-perkara yang termaktub di dalam perlembagaan seperti hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan bahasa kebangsaan.

Dalam rancangan selama sejam itu, Tengku Razaleigh yakin Umno yang menunjangi kerajaan selama 60 tahun mampu memberikan saingan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika pembersihan dilakukan dan mengatasi masalah penyelewengan dalam kalangan anggota parti.

"Ada antara pemimpin kita berlagak sombong, ada yang berlagak seolah elitis, tidak mahu bergaul dengan orang ramai, rakyat nak jumpa makan masa. Saya tidak tahu kenapa bersikap begitu. Masa nak undi sanggup turun padang, sesudah dipilih bergaya menunjukkan harta lebih daripada biasa. Saya rasa ini tidak patut kerana kita ini daripada rakyat biasa, kita mewakili mereka," katanya.

Katanya, budaya politik wang dalam Umno sudah menjadi seperti kanser yang perlu dihapuskan dan diganti dengan semangat pengorbanan untuk bekerja tanpa ganjaran wang ringgit.

Khairy pula menekankan supaya budaya mendewakan presiden dan memberi kekebalan kepada pemimpin nombor satu parti seperti yang berlaku sebelum ini tidak lagi berlaku.

Beliau juga berkata Umno perlu menyediakan platform bagi golongan muda yang layak mendapat tempat dalam kepimpinan kerana politik pasca moden memerlukan hujah dan idea bagi melawan hujah-hujah pihak lawan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan parti itu perlu melakukan muhasabah atas kesilapan dan kelemahan sebelum ini serta mengubah cara untuk merakyatkan parti itu.

Katanya, beliau telah merangka aku janji yang merangkumi 15 perkara untuk Umno kembali bangkit antaranya memperkasa peranan generasi muda dan menubuhkan unit tindakan khas bagi menangani politik wang.

Seramai 150,000 perwakilan membabitkan 191 bahagian Umno akan mengundi memilih kepimpinan di peringkat bahagian dan pusat bagi penggal 2018-2021,pada Sabtu.- Bernama

Umno, politik wang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain