PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan lelaki yang ditahan bersama dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne adalah kabin kru syarikat mereka. "Malaysia Airlines mengesahkan kabin kru telah ditahan oleh pihak berkuasa Australia pada 13 Mei 2018," demikian kenyataan MAS kepada mStar Online pada Sabtu. Bagaimanapun MAS berkata pihaknya tidak dapat memberikan kenyataan lanjut berhubung kes ini. "Pihak kami tidak dapat memberi kenyataan selanjutnya berikutan siasatan masih dijalankan serta tarikh perbicaraan mahkamah belum selesai. "MAS juga sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa," menurut kenyataan tersebut. Sebelum ini Herald Sun dan Daily Mail Australia melaporkan seorang atendan penerbangan MAS warganegara Malaysia ditahan di Melbourne. Dalam laporannya, lelaki itu ditahan atas dakwaan menyeludup heroin bernilai AS$1.4 juta ke Australia. Kru terbabit, ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne selepas didakwa mengimport 3.5kg heroin dalam penerbangan komersil. Herald Sun dalam laporan eksklusifnya melaporkan lelaki berusia 33 tahun itu adalah pekerja syarikat penerbangan MAS. Pegawai Pasukan Penguatkuasaan Sempadan Australia melihat lelaki itu berkelakuan mencurigakan setelah tiba dari Kuala Lumpur. Para pegawai menyiasat lelaki tersebut dan didakwa menemui 10 bungkusan yang dibalut dengan pita pelekat. Artikel berkaitan: Kru MAS ditahan di Melbourne dakwaan seludup dadah AS$1.4 juta