suria

Kanak-kanak 2 tahun mati lemas dalam besen

BESUT: Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun 2 bulan, Muhammad Harif Iskandar Rosli ditemui mati lemas dipercayai selepas terjatuh ke dalam besen berisi air di rumah keluarganya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut dekat sini, pagi Sabtu.

Kejadian berlaku jam 10 pagi ketika kanak-kanak itu dipercayai bermain seorang diri di dalam bilik air tanpa disedari kedua ibu bapanya.

Bapa mangsa, Rosli Johari, 37, berkata, kejadian itu disedari kakak mangsa, Ayuni, 9, apabila menyedari adiknya tiada di dalam rumah.

"Sebelum itu dia ada bertanya ibunya (Nor Hanam Mat Yassin, 27) di mana adiknya.

“Kemudian Ayuni periksa di dalam bilik air dan jumpa adiknya itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam besen dan didapati sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Rosli berkata, anak keempat daripada lima beradik itu dikejarkan ke Hospital Besut, namun pihak hospital mengesahkan anaknya sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tidak ada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Sinar Harian

Artikel Sebelum

Artikel Lain