suria

“Angguk-angguk, tepuk-tepuk, seolah-olah tiada pendirian sendiri” - KJ

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mendakwa ramai perwakilan parti itu diarah, diugut, dan dipaksa untuk mengikut pilihan ‘warlords' dalam pemilihan UMNO peringkat bahagian dan majlis tertinggi pada Sabtu.

Khairy yang tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perebutan jawatan Presiden UMNO berkata sistem undi bahagian berpihak kepada ‘warlords' yang mempunyai cengkaman kuat ke atas bahagian mereka walaupun statistik undi popular menunjukkan majoriti anggota parti itu mahukan perubahan.

“Majoriti ahli nak berubah tetapi warlords masih pekak terhadap suara rakyat.

“Angguk-angguk, tepuk-tepuk, seolah-olah tiada pendirian sendiri,” katanya menerusi laman Twitter, Ahad.

Walaupun bekas Menteri Belia dan Sukan itu menerima keputusan tersebut dengan hati  terbuka, beliau mahu anggota parti supaya membuang mentaliti feudal selain mengulangi pendiriannya untuk melihat perubahan dalam UMNO.

Ahmad Zahid, yang sebelum ini naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, dipilih sebagai Presiden UMNO apabila mendapat 93 undi, jauh mendahului dua pencabar utamanya iaitu Khairy yang memperoleh 51 undi dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah yang meraih 23 undi.

Ketua UMNO Bahagian Rembau dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan pula dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO selepas mendapat 110 undi menewaskan Ketua Penerangan UMNO merangkap Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa (47 undi) setakat malam Sabtu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada satu sidang media tengah malam tadi berkata senarai penuh keputusan Pemilihan UMNO 2018 diumumkan pada Ahad. - Bernama

Artikel Sebelum

KJ tolak tawaran Zahid

Artikel Lain