suria

"Saya kehilangan abang, teman jatuh bangun dalam politik"

Amirudin Shari.

SHAH ALAM: "Saya kehilangan abang dan teman jatuh bangun dalam politik hari ini," kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Bercakap kepada pemberita, Amirudin berkata beliau mula mengenali Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Kandis Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei pada 1998, iaitu ketika beliau berusia 19 tahun.

"Arwah seorang yang secara peribadinya rapat dengan saya, kami sama-sama berjuang serta merasai jatuh dan sama-sama bangun di arena politik negara.

"Jasa arwah sebagai Adun di Sri Muda dan kini Sungai Kandis, selain menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor sebelum ini amat besar dan kematian beliau hari ini bukan hanya dirasai oleh keluarganya tetapi oleh seluruh rakyat Selangor," katanya yang kelihatan sebak.

Amirudin ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini selepas menziarahi jenazah Mat Shuhaimi yang meninggal dunia pada 11.10 pagi Isnin akibat kanser limfoma di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Mengulas mengenai kemungkinan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Amirudin enggan mengulas perkara itu buat masa ini bagi menghormati keluarga Allahyarham.

"Masih terlalu awal, biar kita selesaikan urusan jenazah terlebih dahulu, saya percaya pihak terbabit seperti DUN dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan melaksanakan urusan seterusnya selepas ini.

"Kami akan mengadakan tahlil selama tiga malam di sini (negeri) terlebih dahulu, selepas itu baru kami akan berbincang dan melihat secara serius (mengenai PRK)," katanya. - BERNAMA

Amirudin Shari, Shuhaimi Shafiei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain