PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menafikan dakwaan kononnya Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos ke luar negara tanpa masalah. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, beliau (Jamal) telah disenaraihitamkan untuk ke luar negara. Menurutnya, mana-mana permintaan daripada agensi undang-undang seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meminta supaya individu terbabit disenaraihitamkan akan dibuat. “Memang individu itu akan disekat. Sekiranya telah disenaraihitamkan, jika guna pasport melalui pintu keluar yang sah, memang mereka tidak akan lepas, tetapi jika melalui pintu tidak sah seperti guna bot pancung dan sebagainya, itu, kita tidak tahu,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan Jabatan Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Imigresen, di sini, Selasa. Turut hadir bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim. Mengulas tentang semakan jika seseorang individu itu telah disenaraihitamkan, Mustafar berkata, portal akan menunjukkan “perlu hadir ke pejabat terdekat”. “Itu maknanya individu itu telah disenaraihitamkan,” katanya. Semalam, Jamal telah ditahan Polis Indonesia pada jam 6.15 petang di Jakarta, Indonesia. Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.-SinarHarian