suria

Syed Saddiq umpama ambil 'kekasih' saya - KJ

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan, kementerian itu sebagai cinta pertamanya apabila kali pertama dilantik menjadi menteri lima tahun lepas.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, menyerahkan kementerian itu kepada Syed Saddiq yang akan menerajui pentadbiran umpama Ahli Parlimen Muar itu ‘mengambil’ kekasihnya.

Seloroh Khairy kemudian disambut gelak tawa oleh pengamal media dan pengurusan KBS yang turut sama menyaksikan penyerahan nota serah tugas di pejabat menteri itu di sini, Selasa.

“KBS umpama cinta pertama saya. Menyerahkannya kepada Syed Saddiq umpama Syed Saddiq mengambil kekasih saya,” ujarnya sambil ketawa.

Sejurus serah menyerah tugas menteri, bekas timbalan menteri M. Saravanan turut menandatangani nota serah tugas kepada timbalan menteri, baharu Steven Sim Chee Keong.

Mengulas mengenai penyerahan tugas itu, Khairy berkata beliau berbangga kementerian itu dipimpin anak muda yang akan membawa suara belia.

Sementara itu dalam sidang media yang diadakan selepas sesi serah tugas itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman optimis untuk memimpin kementerian itu penuh dedikasi dalam usaha mengangkat suara anak muda dan memajukan lagi sukan di negara ini.

“Terima kasih kepada bekas menteri dan bekas timbalannya dan  kerana sudi hadir menyempurnakan serah tugas.

Saya juga mengucapkan penghargaan atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan kedua-dua bekas menteri itu sepanjang lima tahun memimpin kementerian ini,” katanya.

Syed Saddiq berkata meskipun berbeza fahaman politik, beliau berharap akan terus bekerjasama bagi mengangkat suara anak muda dan memajukan sukan di negara.

Terdahulu kedua-dua tiba di menara KBS sekitar jam 8.42 pagi, disambut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali dan warga kerja KBS.

Syed Saddiq bersama Timbalannya kemudian dibawa melawat  bahagian-bahagian dalam kementerian dan ditaklimatkan sebelum sesi serah tugas.-SinarHarian

Saddiq, KJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain