PETALING JAYA: Penahanan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd tidak mengheret isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini, hanya bekas perdana menteri itu yang ditahan pihaknya untuk tindakan lanjut. "Buat masa ini, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan ditahan," katanya ketika dihubungi mStar Online. Bagaimanapun beliau berkata, kertas siasatan melibatkan isteri bekas perdana menteri itu tidak ditutup. Pada 5 Jun, Rosmah hadir di ibu pejabat SPRM untuk merakamkan kenyataannya selama lima jam berhubung kes berkenaan. SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang kemudiannya diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012. Mengenai anak Rosmah, Riza Aziz pula, kata Azam, sehingga berita ini disiarkan, produser berusia 48 tahun itu masih lagi melalui proses soal siasat. Selain itu, sebelum ditahan SPRM, Najib telah dipanggil memberi kenyataan sebanyak tiga kali oleh SPRM berkaitan isu SRC International. Pada 5 Disember 2015, SPRM mengambil kenyataan Najib mengenai siasatannya ke SRC dan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Beliau diminta hadir sekali lagi pada 22 Mei dengan mengambil masa lima jam manakala kali terakhir pada 24 Mei lalu. Najib yang ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di ibu negara pada petang Selasa akan dihadapkan ke mahkamah pada pagi Rabu. Bekas presiden Umno itu dijangka didakwa melibatkan kesalahan pecah amanah.