PETALING JAYA: Polis Indonesia telah menyoal siasat Datuk Seri Jamal Md Yunos, menunjukkan deportasinya ke Malaysia akan dilakukan tidak lama lagi. Peguam Jamal, Datuk Imran Tamrin berkata, Polis Negara Republik Indonesia (Polri) telah menyerahkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu kepada Imigresen Indonesia pada Selasa malam untuk memulakan proses deportasi. "Peguamcara yang menguruskan deportasinya memaklumkan bahawa beliau telah dibawa dari ibu pejabat Polis Metro Jaya Jakarta pada kira-kira pukul 9.30 malam Selasa dan menyerahkannya kepada Imigresen Indonesia. "Yang perlu diuruskan hal imigresen sebelum beliau pulang," katanya kepada The Star pada Rabu. Walaupun menjangkakan anak guamnya akan dihantar pulang ke Malaysia pada Rabu, Imran berkata, dia tidak mempunyai butiran terperinci mengenainya. "Saya akan kembali ke Malaysia petang ini dan menyemaknya dengan pihak berkuasa Malaysia," katanya. Tambah Imran, anak guamnya memberi kerjasama penuh dengan polis Indonesia. "Beliau dijangka pulang ke Mlaaysia menerusi penerbangan khas, di mana pihak polis Malaysia akan menunggu untuk menahannya semasa ketibaan," katanya. Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Jamal akan diekstradisi ke Malaysia tidak lama lagi, dengan mengatakan bahawa polis Malaysia bekerjasama rapat dengan rakan sejawatnya di Indonesia untuk mempercepatkan proses ekstradisi.