suria

Najib tiba di Mahkamah Kuala Lumpur

-foto AP

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Kuala Lumpur, pagi Rabu.

Beliau yang menaiki kereta Proton Inspira merah diiringi enam kenderaan lain termasuk dua kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring tiba di mahkamah pada pukul 8.17 pagi.

Petugas media menunggu sejak pukul 6.30 pagi bagi merakam pergerakan keluar perdana menteri keenam itu.

Sebaik tiba di kompleks berkenaan, Najib dikawal ketat dengan diiringi pasukan polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa masuk ke bangunan mahkamah.

Bekas Menteri Kewangan itu dilihat memakai sut lengkap berwarna gelap, kemeja biru dan bertali leher.

Beliau kelihatan tenang ketika berhadapan dengan media serta orang ramai.

Perkarangan mahkamah juga gamat dengan laungan seperti 'Bebas Najib' dan 'Hidup Najib' oleh para penyokongnya sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada bekas perdana menteri itu.

-fotoREUTERS

Kira-kira 100 penyokong Najib termasuk anggota Umno berkumpul di perkarangan lokasi itu sejak pukul 7.00 pagi lagi.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik dan Tan Sri Noh Omar turut hadir bagi memberikan sokongan kepada beliau.

Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 2.35 petang semalam di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini.

Najib ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd bekas anak syarikat 1MDB.

Najib Razak, Mahkamah KL, dakwa

Artikel Lain