suria

Rangkulan terakhir dari KL ke Kuala Terengganu

Ibu kepada bayi Adam Rayqal Mohd Sufi, Farrah Madihah Othman tidak dapat menahan kesedihan ketika memangku jenazah anaknya di Institut Perubatan Forensik Negara pada Rabu. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU: "Ibu Adam tidak mahu naik ambulans, beliau hendak pangku sendiri anaknya sepanjang perjalanan daripada Kuala Lumpur hingga ke Kuala Terengganu." 

Demikian menurut Nadia Mohd Fauzi, kakak ipar kepada Farrah Madihah Othman iaitu ibu Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemukan mati di rumah pengasuh di Taman Nahkoda, Batu Caves, Selangor.

Farrah Madihah menaiki kereta sendiri dengan ditemani suaminya, Mohd Sufi Naief Mohd Fauzi beredar dari Kuala Lumpur kira-kira 3 petang Rabu dan mengambil masa kira-kira enam jam untuk tiba di sini.

Menurut Nadia, sepanjang perjalanan itu rangkulan terakhir akan menjadi kenangan abadi Farrah Madihah apatah lagi Adam ialah anak pertama pasangan itu.

"Farrah tidak mahu menaiki ambulans kerana mahu mendakap anaknya lama-lama buat kali terakhir. Menurut ibu, dia (Farrah) masih trauma tetapi dapat menerima kehilangan anaknya," katanya ketika ditemui Bernama di Chendering di sini, Rabu.

Semua anggota keluarga masih terkejut dan trauma dengan pemergian Adam Rayqal kerana arwah adalah cucu pertama dalam keluarga mereka, katanya.

Menurut Nadia, arwah Adam Rayqal begitu disayangi oleh semua anggota keluarganya kerana kehadirannya menceriakan suasana rumah yang sudah lama tidak kedengaran suara anak kecil.

"Sepanjang Ramadan lalu Adam Rayqal tinggal bersama kami dan dia menceriakan suasana rumah. Kami semua bergilir menjaganya dan adakala keluarga Farrah akan datang menjenguknya di rumah kami.

"Selepas mendapat panggilan daripada Sufi petang semalam mengatakan Adam Rayqal diculik kami semua sudah tidak sedap hati," katanya.

Sementara itu, jiran sekampung yang mengenali Farrah Madihah turut menzahirkan rasa simpati dengan kejadian yang menimpa pasangan itu.

Seorang daripadanya yang hanya mahu dikenali sebagai Rosliza berkata beliau sempat melihat kelibat bayi itu pada hari raya lalu di rumah keluarga Farrah Madihah.

"Biasanya kita lihat keadaan (kejadian) ini di tempat lain dan hanya dalam lakonan dalam cerita jenayah tetapi hari ini terkejut apabila dapati mayat bayi dalam peti sejuk itu adalah bayi yang baru sahaja dilihat beberapa minggu lalu,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, tinjauan Bernama sejak pagi Rabu mendapati rumah keluarga Farrah Madihah masih kosong dan tiada anggota keluarga berkumpul di situ dan dimaklumkan mayat mangsa akan tiba di rumah keluarga Mohd Sufi di Chendering pada kira-kira pukul 8 malam sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Ladang Tok Pelam, di sini.  Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka turut hadir di pengebumian itu.

Media sosial digemparkan dengan berita Adam Rayqal diculik oleh seorang lelaki menyamar sebagai bapanya namun akhirnya mayat Adam Rayqal ditemukan di ruang  sejuk beku peti sejuk di rumah pengasuhnya, pada kira-kira 11 malam Selasa. - Bernama

Adam Rayqal Mohd Sufi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain