suria

Loket tulisan 'Allah' ditemukan pada mayat

Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat tanpa identiti dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian ditemui di tebing Sungai Gombak pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan loket dengan tulisan “Allah” dalam huruf jawi dan seutas rantai leher pada mayat seorang wanita mangsa pembunuhan kejam.

Mayat wanita yang dikerat enam itu ditemukan dalam dua buah beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak pukul 11.30 pagi Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, selain loket dan rantai berkenaan, segugus anak kunci turut dijumpai bersama beg yang mengandungi kepala mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia dalam lingkungan 30 ke 40 tahun dipercayai beragama Islam dan bukan warganegara Malaysia serta disyaki dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke lokasi mayatnya dijumpai.

"Polis masih belum mengenal pasti identiti sebenar mangsa. Tiada kesan suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemui pada bahu mangsa.

"Kewarganegaraan dan keturunan mangsa masih belum dikenal pasti buat masa ini dan seramai tujuh saksi awam yang berada berhampiran lokasi kejadian telah dirakam percakapan mereka,” katanya kepada  pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah luka hirisan di leher yang dipercayai menggunakan senjata tajam dan berat serta mangsa dikenal pasti sudah meninggal dunia melebihi 24 jam hingga 60 jam sebelum waktu bedah siasat dilakukan.

Beliau berkata, polis telahpun mandapatkan cap jadi daripada lapisan kulit tapak tangan dan kesemua jari mangsa.  

Dalam kejadian tengah hari Khamis, seorang gelandangan wanita yang tinggal berhampiran lokasi penemuan mayat itu telah membuat laporan kepada polis di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian yang mencurigakan.

Susulan laporan itu, polis telah menemui anggota manusia yang dibungkus dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada dua beg pakaian berjenama “Power Polo” dan USA Polo” pada jarak berasingan lebih kira-kira 20.6 meter.

Menurutnya, polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis berdekatan untuk siasatan lanjut. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain