JOHOR BAHRU: Seorang pemandu Grab yang dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumahnya di Taman Kota Masai, dekat Pasir Gudang, sejak tiga hari lepas, selamat kembali ke rumahnya, petang Khamis. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abdul Aziz berkata, lelaki itu tiba di rumahnya pada pukul 6 petang Khamis dengan memandu sendiri kereta Proton Saga BLM berwarna kelabu miliknya, bernombor pendaftaran JMQ 2214. “Dia memberi alasan bermalam di rumah rakan di kawasan Larkin, Johor Bahru dan memang tidak menghubungi isterinya,” katanya menerusi kenyataan di sini, Jumaat. Jokhiri berkata, siasatan mendapati tiada sebarang perbuatan jenayah berlaku terhadap lelaki itu yang juga berkeadaan baik. Terdahulu, kehilangan pemandu Grab yang dikenali sebagai Ishak Shuadak itu mendapat perhatian orang ramai selepas tular dalam laman Facebook sejak Khamis. Lelaki itu disedari hilang oleh isterinya selepas keluar dari rumah untuk bekerja, kira-kira 10 malam, Selasa lepas. - Bernama