GOMBAK: Pengasuh yang dipercayai terlibat dalam kes kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Raykal Mohd Sufi Naeif, di bawa ke rumahnya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves, di sini, pagi Khamis untuk membantu siasatan. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, proses itu untuk memberi gambaran lebih jelas berhubung kejadian tersebut. Menurutnya, selain itu, ia juga untuk mengetahui punca kecederaan di kepala bayi tersebut yang disahkan menjadi punca kematian bayi lelaki berkenaan. “Kita membawa suspek ke rumahnya hari ini (Khamis) bagi mencari bukti baru di lokasi kejadian. “Sehingga kini kami tidak dapat mengenalpasti punca kecederaan pada bahagian kepala bayi itu. Jadi suspek dibawa ke rumahnya juga adalah untuk menjelaskan bagaimana kepala mangsa mengalami kecederaan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Adam Raykal sebelum ini dilapor hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki menyamar sebagai bapanya, telah ditemui mati di rumah pengasuhnya. Mayat Adam Rayqal ditemui dalam bahagian atas peti ais dua pintu di rumah pengasuh tersebut kira-kira pukul 11 malam Rabu. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Terdahulu, orang ramai dikejutkan dengan penularan berita kehilangan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves dekat sini, petang Rabu.